Bukan Sailang, Itu Rezeki Saya – IFA RAZIAH

Ifa Raziah bersama vendor yang akan berniaga sempena Star Vendors Raya Fest pada 24 hingga 26 Mei 2019

“Bukan sailang, saya percaya itu adalah rezeki saya selepas balik menunaikan umrah,” luah penyanyi popular Ifa Raziah yang menafikan dakwaan kononnya wujud isu sailang susulan penganjuran Star Vendors Raya Fest yang bakal diadakannya pada bulan Ramadan nanti.

Isu ini timbul apabila Ifa Raziah bakal menganjurkan festival hari raya buat kali pertama yang selama ini dipegang oleh pihak lain untuk beberapa tahun di PWTC.

Ifa yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors berkata, dia juga mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selaku penyedia lokasi festival.

Ifa menjelaskan pernah beberapa kali bekerjasama dengan penganjur itu selama ini. Cuma, rezeki berpihak kepadanya untuk menjadi penganjur pula pada tahun ini.

“Tiada isu caras-mencaras (rampas) atau sailang yang wujud di sini. Saya pun tiada isu perselisihan faham antara saya dengan penganjur sebelum ini.

“Sebagai usahawan, saya juga melalui proses pitching seperti orang lain untuk mendapatkan lokasi bagi mengadakan festival ini.

“PWTC memang membuka peluang kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan acara di lokasinya. Saya bukannya diberi peluang ini disebabkan saya adalah Ifa Raziah.

“Kalau bukan rezeki saya, mungkin ia menjadi rezeki orang lain. Sesiapa sahaja berpeluang dan harus melalui prosedur yang sama.

“Selama dua minggu saya berurusan dengan pihak PWTC sebelum diberi kepercayaan oleh mereka untuk menjadi penganjur selepas membuat bayaran tempahan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar yang diadakan di PWTC di sini hari ini.

Ifa juga berkata dirinya tidak mempunyai masalah dengan penganjur sebelum ini. Niatnya hanya mahu berniaga dan membantu usahawan-usahawan Melayu lain dalam mencari rezeki.

Dalam pada itu, Ifa berharap penjelasannya ini akan menepis segala anggapan negatif terhadap isu ini.

Festival Star Vendors Raya Fest yang akan berlangsung pada 24 hingga 26 Mei (bulan Ramadan) di PWTC ini memberi peluang kepada peniaga membuat jualan selama 72 jam atau tiga hari tanpa henti.

Festival ini akan melibatkan ramai artis popular yang turut berniaga iaitu Erra Fazira, Datuk Awie, Nursajat, Fattah Amin, Fazura, Tya Ariffin, Farah Nabilah, Hanis Zalikha dan ramai lagi.

Kepada usahawan yang berminat untuk berniaga sempena Star Vendors Raya Fest ini bolehlah tempah booth atau hubungi di talian 0193722975  (whatsap).