“Bukan Berlagak, Tiada Keinginan Berlakon Drama”- MAYA KARIN

Maya Karin antara pelakon Gred A di Malaysia

 

NAMA Maya Karin mulai terpahat di minda pengikut dunia seni tempatan melalui filem Seri Dewi Malam pada tahun 2000.

Setelah 17 tahun, pelakon dan penyanyi ini langsung tidak dilihat berlakon drama televisyen. Sepanjang tempoh itu, banyak anugerah diraih pelakon kacukan Jerman- Melayu ini.

Maya Karin diiktiraf Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-49 menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam pada 2005 serta Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 (2008) dan FFM 25 (2013) untuk lakonan hebatnya di filem Anak Halal dan Ombak Rindu.

“Banyak tawaran drama, tetapi terus-terang saya tiada keinginan pun berlakon drama. Jangan fikir saya berlagak pula.

“Saya gembira memilih untuk tidak berlakon drama televisyen. Orang cakap populariti tak  bertahan lama kalau wajah tidak muncul di TV.

“Tidak mengapalah… Kerana saya sentiasa dapat sokongan penggemar untuk setiap projek terbaharu saya,” terang Maya dalam satu pertemuan dengan Mangga Media baru-baru ini.

Maya bagaimanapun mengakui ada beberapa naskhah drama menarik dan bagus. Bahkan, secara berseloroh beliau mengandaikan pengarah dan penerbit drama bagai sudah ‘malas’ mengemukakan lagi tawaran kepadanya.

“Rasanya mereka (pengarah dan penerbit) macam dah tak kuasa nak tanya sama ada saya mahu berlakon drama atau sebaliknya,” ujar bintang filem Jwanita ini lagi.

Teruja diberi peluang merealisasikan karakter Serikandi Melaka dalam pementasan teater Tun Fatimah di Panggung Bangsawan Melaka, 20-21 Oktober ini

Dalam perkembangan lain, Maya bakal merakam single baharu berduet dengan Awi Rafael. Lagu yang masih dirahsiakan judulnya itu berentak balada, ciptaan penyanyi dan komposer dari Singapura tersebut.

Sebelum ini album studionya,  Erti Cinta (2001), Bukan Qalamaya (2004) dan Teka-Teki (2014). Antara lagu popular, Erti Cinta, Simpan Sahaja Cintamu serta Teka-teki.

Beliau juga sudah selesai penggambaran filem Munafik 2 dan Olympic Dream. Maya Karin bakal bergandingan sekali lagi dengan sahabat baiknya Remy Ishak di dalam pementasan teater Tun Fatimah.

Teater berkenaan hanya dua malam dipentaskan di Panggung Bangsawan Melaka, 20- 21 Oktober ini, dengan menerima sentuhan pengarah teater terkenal, Lokman Ghani.