“Budak Jerman Disuruh Bersilat & Cakap Melayu Klasik”

Pementasan teater Tun Fatimah turut menyediakan kostum menarik buat semua pelakon. Adegan persandingan Sultan Melaka dengan Tun Fatimah

 

MELAKA- Tidak sahaja berhadapan cabaran dan memikul tanggungjawab berat melaksanakan karakter Tun Fatimah, adakalanya turut ‘menggelikan’ hati Maya Karin.

“Budak Jerman disuruh bersilat dan cakap Melayu klasik, memanglah satu cabaran berat buat saya kerana selama hidup ini belum pernah tahu maksud perkataan gundah gulana, ayahanda, anakanda dan sebagainya,” katanya kepada Mangga Media yang menyertai rombongan pihak Istana Budaya menyaksikan teater arahan Lokman Ghani tersebut di Panggung Bangsawan Melaka, 20 dan 21 Oktober lalu.

Lokman Ghani (baju hitam) memuji keserasian lakonan Maya Karin dan Remy Ishak

Namun, pertama kali bersilat dan bercakap bahasa Melayu klasik, Maya dipuji pengarah. “Saya puas hati. Saya lihat Maya punya aura serikandi Melaka, Tun Fatimah iaitu seorang yang cantik, bijak dan tangkas.

“Saya juga tak boleh mengharap lebih bagus daripada ini kerana apa yang dipersembahkan Maya dalam dua hari pementasan adalah mengikut kemampuan kerana waktu latihan yang terlalu singkat.

“Keseluruhannya, pilihan tepat menggandingkan Maya sebagai Tun Fatimah dengan Remy Ishak yang memegang watak Sultan Melaka,” ujar Lokman.

Turut berlakon, Ashraf Muslim sebagai Tun Ali, Ruzaidi Abdul Rahman (Mendaliar), Roslan Salleh (Bendahara), Ebby Yus (Kitul), Isma Halil Hamzah (Laksamana Khoja Hassan) dan ramai lagi.

Berikut petikan rakaman persembahan teater Tun Fatimah yang dianjurkan Perbadanan Ketua Menteri Melaka sempena sambutan Hari Jadi ke- 79 Tuan Yang Terutama Gabenor Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob.