Bront Palarae Rungkai Kisah Seram Dalam Folklore

SELEPAS tampil hebat dalam siri , Halfworlds serta filem Pengabdi Setan, aktor Malaysia yang semakin menyerlah di peringkat antarabangsa, Bront Palarae sekali lagi bakal merungkai kisah seram.

Kali ini beliau muncul dalam siri seram berjudul Folklore. Drama bersiri enam episod berdurasi selama sejam ini telah menjalani penggambaran di beberapa negara Asia dan menampilkan barisan pelakon dari rantau tersebut

HBO Asia juga mengumumkan penglibatan aktor terkenal Jepun, Kazuki Kitamura (antara rekod filem Godzilla: Final Wars, Kill Bill: Volumes 1 & 2).

Siri ini bakal ditayangkan pada tahun ini di saluran HBO Asia, secara dalam talian dan menerusi on demand.

Siri yang dibangunkan oleh HBO Asia dan dihasilkan oleh Eric Khoo, pengarah filem dari Singapura yang pernah memenangi anugerah ini bakal ditayangkan di beberapa negara Asia seperti Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Singapura dan Thailand.

Setiap episod akan memaparkan kisah seram dan mitos dari negara-negara tersebut. Diterajui oleh pengarah berbeza dari beberapa negara di Asia, siri ini bakal memberikan sentuhan berbeza kepada cerita seram Asia yang sedia ada.

Setiap episod akan merungkai kisah-kisah masyarakat setempat dan pada masa yang sama mengetengahkan tema utama untuk keseluruhan drama ini.

Enam pengarah yang bakal mempersembahkan naskah mereka dalam FOLKLORE adalah Joko Anwar (Indonesia), Takumi Saitoh (Jepun), Lee Sang-Woo (Korea), Ho Yuhang (Malaysia), Eric Khoo (Singapura) dan Pen-Ek Ratanaruang (Thailand).

Setiap episod FOLKLORE akan dihasilkan dalam bahasa tempatan negara yang terlibat dan akan disertakan sekali sari kata Bahasa Inggeris dan bahasa tempatan (mengikut ketersediaan).

Aktor Jepun terkenal, Kazuki Kitamura.

Memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif HBO Asia, Jonathan Spink, “Penghasilan FOLKLORE adalah untuk mengetengahkan keunikan Asia yang kaya dengan budaya dan sejarahnya yang tersendiri.

“Kami teruja untuk menyampaikan kisah-kisah mitos dan cereka dari Asia kepada penduduk di rantau ini dan di seluruh dunia.”

Aktor Jepun yang pernah membintangi beberapa filem Hollywood dan Jepun, Kazuki Kitamura, bakal memegang watak utama dalam episod untuk negara Jepun di bawah arahan Takumi Saitoh.

Beliau juga pernah dianugerahkan Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Yokohama menerusi lakonannya dalam tiga buah filem iaitu Kyohansha, Minazuki dan Kanzen-naru Shiiku.

Episod untuk Malaysia akan diarahkan oleh Ho Yuhang, diterajui oleh Bront Palarae. Produksi untuk FOLKLORE bermula dengan episod arahan Joko Anwar yang menjalani penggambaran di Jakarta, diikuti dengan episod arahan Eric Khoo untuk Singapura yang dirakam di Batam serta episod arahan Ho Yuhang untuk Malaysia.

Tiga lagi episod yang masih menjalani penggambaran adalah episod arahan Takumi Saitoh untuk Jepun, Pen-Ek Ratanaruang’s (Thailand) dan Lee Sang-Woo ( Korea Selatan).