Berpisah Hanya Di Mata, Warga UTUSAN Di Hati Selamanya

Antara wartawan dan grafik yang pernah bekerja di Majalah Mangga dan Mangga Online

Tarikh 30 November 2018 baru-baru ini adalah hari paling sedih buat MANGGA dan semua warga Kumpulan Utusan Melayu.

Tarikh ini akan diingati sampai bila-bila, di mana sebahagian besar warga Utusan mengambil Skim  Pemberhentian Sukarela atau lebih dikenali sebagai VSS dan meninggalkan kami yang masih berkhidmat.

Sedih memanglah sedih. Tetapi kehidupan perlu diteruskan. Apa yang pasti jasa semua bekas warga Utusan sangatlah bernilai dan perjuangan tulus mereka tiada gantinya. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

PENGERUSI Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir bergambar bersama sebahagian daripada kakitangan yang mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) pada majlis Lambaian Kasih Sanjungan Budi di Ibu pejabat Utusan Melayu, Jumaat lalu

Selain akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo, MANGGA tak mungkin melupakan kenangan manis bersama teman-teman di majalah URTV, Wanita, Mastika, Hijab Fesyen, Saji, Al-Islam, Harmoni, I Sihat dan Infiniti.

Begitu juga dengan sahabat-sahabat di unit media baharu iaitu Saji Online, Insta Online, WOW Malaysia dan Mag Daily. Semuanya kenangan terindah buat MANGGA.

Suasana sedih di hari-hari akhir warga Utusan Karya

Kepada yang meninggalkan Utusan, teruskanlah jadikan Utusan sebagai tempat persinggahan walaupun sekadar Kafe Kak Ani untuk makan. Tentulah kenangan dan kewibawaan anda semua menjadi satu lipatan sejarah yang cukup berkesan kepada generasi masa depan.

Pengalaman dan ketokohan anda semua menjadi rujukan untuk mencipta lebih banyak kejayaan. Pintu pagar Utusan sentiasa terbuka untuk anda datang lakukan kunjungan. Teruslah membantu Utusan dalam apa jua keadaan.

Dari kiri: Deel Anjer, Norzeha Kasbi dan Aisamurni antara wartawan yang pernah bekerja di Majalah Mangga

LAMBAIAN KASIH SANJUNGAN BUDI

Sejak hari pertama ditubuhkan pada 29 Mei 1939 hingga lapan dekad seterusnya, Utusan Melayu tidak pernah dimamah usia. Menjejak usia 80 tahun, pastinya banyak suka, duka, tangis dan tawa telah dilalui bersama.

Bermula dari bangunan bernombor 185, Cecil Street ke Chan Sow Lin, dari Singapura ke Tanah Melayu, dari bangunan lama ke bangunan baharu, banyak nostalgia dicipta, banyak memori dikota.

Usia Utusan Melayu sendiri lebih berumur daripada penubuhan Malaysia pastinya tidak boleh dinafikan penglibatannya sama ada dalam mencipta, melakar dan mengekalkan sejarah yang berlaku di tanah air ini.

Sudah tentulah semua akan teringat hari pertama melangkah masuk ke Utusan. Ada yang sudah lebih 40 tahun menabur bakti di Utusan dan ada yang baru setahun jagung mahu mula menuai.

Team grafik yang sangat disayangi Mangga

Tidak kira apa jua usia, inilah kemanisan berada di Utusan kerana di Utusan kita tidak menjanjikan kekayaan tetapi kita disemai dengan nilai kasih sayang perjuangan.

Bersyukur rasanya apabila MANGGA berpeluang untuk bersama keluarga akhbar keramat ini.

Rosli Manah dan Datin Norzeha antara editor yang pernah menerajui Majalah Mangga dan Mangga Online

Apakan tidak Utusanlah yang menukar impian menjadi realiti, yang mencatat sejarah dan penuh erti, meneropong cerita segenap dimensi, yang pernah disuka dan juga dicaci, inilah hakikatnya Utusan yang kita cintai.

Antara jejaka bertubuh sedap kami. Hehe…

Sumber: Utusan Online (Kolum Ada-Ada Saja)