‘Berlian palsu’ AISHAH rudumkan perniagaan VIDA

JUTAWAN kosmetik dan pengusaha produk kesihatan Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang lebih popular dengan panggilan Datuk Seri Vida menuntut penyanyi Aishah membuat permohonan maaf kerana menggunakan perkataan ‘berlian palsu’ terhadap barang kemas yang dihadiahkan kepadanya ketika dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Vida menegaskan yang perkataan ‘berlian palsu’ itu telah membuatkan perniagaannya merudum. Impak yang besar sehingga kerugian 70 peratus terhadap perniagaannya terutama jualan di kedai emasnya.

Melalui satu sidang media yang diadakan pada Selasa, 9 Oktober, Vida mengeluarkan notis tuntutan permohonan maaf untuk tempoh tujuh hari daripada Aishah sebelum beliau memenuhi semua tuntutan penyanyi itu. Lima hari lalu, Aishah mengemukakan kes tuntutan sivil terhadap Vida terlebih dahulu.

Vida (kanan) bersama Zailan menunjukkan notis tuntutan permohonan maaf daripada Aishah.

Dalam surat bertarikh 9 Oktober itu, Vida menerusi peguam Zailan Mohamed menuntut agar Aishah membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung perkataan ‘berlian palsu’ terhadap hadiah rantai berlian yang diberikan kepadanya.

Selain itu Vida juga mahukan satu pertemuan secara bersemuka bagi menyelesaikan kemelut yang sedang berlaku serta menuntut Aishah memadamkan kesemua kenyataan yang telah dikeluarkan di media sosial.

Menurut Vida, jika Aishah berjaya melaksanakan ketiga-tiga perkara itu, baharulah beliau bersedia untuk membuat permohonan maaf kepadanya. Bahkan Vida juga bersedia untuk mempertimbangkan penggantian rantai berlian bernilai RM80,000 yang dihadiahkan kepada Aishah sebelum ini dengan barang kemas yang lain.

Aishah menjuarai Gegar Vaganza musim keempat.

Semoga kemelut dan kontroversi ini dapat diselesaikan dengan baik.

 

Sumber: KOSMO! ONLINE