“Berapa Dia Nak, Kasi Aja”- NABIL Bikin The Hantus Kerana Faizal Hussein & Alif Satar

Nabil sanggup tunggu Faizal Hussein dan Alif Satar demi merealisasikan The Hantus.

PERTAMA kali menjadi penerbit filem televisyen (FTV)  , sekaligus pengarah bersama serta penulis skrip, Nabil Ahmad dedah alasan pembikinan hampir tidak menjadi andai tidak disertai Faizal Hussein dan Alif Satar.

“The Hantus ini takkan jadi kalau tiada Alif Satar dan Faizal Hussein. Alif ini dah lama saya lihat sangat natural dalam apa jua program.

“Masa buat pemilihan pelakon, watak Fami dalam The Hantus itu memang khusus untuk Alif. Saya tak mahu pelakon lain.

“Saya acakap pada Alif, mahu dia berlakon juga dalam FTV ini, saya sanggup tunggu. Kalau tak dapat dia, tak kisahlah kalau FTV ini keluar masa raya tahun depan pun tak apalah.

“Abang Faizal pula saya tak kira, berapa dia minta (bayaran), bagilah asalkan dia setuju berlakon dalam The Hantus.

“Sebab saya adalah peminat setia dia sejak filem Gila-gila Remaja. Dia memang power. Masa tulis skrip The Hantus, saya dah bayangkan karakter abang Volkswagen kuning, saya tak nampak orang lain, hanya abang Faizal.

Pelakon utama The Hantus, Alif Satar (kiri), Hannah Delisha dan Faizal Hussein.

“Cara penampilan dia dalam FTV ini pun memang saya nak kekalkan imej Azroy dari filem Gila-gila Remaja,” terang Nabil kepada Mangga Media sewaktu tayangan perdana The Hantus di ibu kota, baru-baru ini.

The Hantus yang ditawarkan dalam pakej Astro First Eksklusif bermula 15 Jun lalu merupakan projek pertama Nabil selaku penerbit dan penulis skrip dari rumah produksinya, KMN Productions.

Beliau turut menjadi pengarah bersama bergandingan dengan Helmi Yusof. Antara projek lain dari produksinya yang sedang menanti penggambaran ialah Maruah, Datuk Setan dan The Unwonted.

Nabil Ahmad pertama kali menjadi penerbit, penulis skrip dan pengarah bersama bergandingan dengan sutradara, Helmi Yusof (kanan) dalam FTV The Hantus.
Nabil serius mengembangkan kerjaya sebagai orang penting belakang tabir.