“Balqis Muntah Darah, Pengsan”- Keluarga

Puteri Balqis masih menunggu rawatan selanjutnya setelah kerap pengsan dan muntah darah.

SIMPATI melihat keadaan pelakon cilik, Puteri Balqis Azizi, 10, yang terlantar kesakitan.

Berdasarkan posting yang dimuatnaik ibu bapanya di akaun Instagram Pelakon Wanita Terbaik Asian TV Awards itu sebentar tadi, kini sedang berehat untuk menerima rawatan selanjutnya.

Pelakon drama Akulah Balqis itu dikatakan pengsan dan muntah darah.

“Alhamdulillah, sakit Aqish semakin kurang. Masih tunggu rawatan selanjutnya. Terima kasih buat semua peminat yang tak henti-henti bertanya khabar dan mendoakan kesihatan Aqish.

“Buat sesiapa yang anak mereka mengalami sakit jantung atau lemah jantung dan kanser, beli macam-macam ubat suplemen tetapi tidak membantu.

“Boleh cuba parsley atau basil tea. Sebelum ini, Aqish asyik muntah darah dan pengsan, nyaris kehilangan dia.

“Macam-macam suplemen yang Aqish cuba tapi tak membantu. Selepas Aqish minum basil tea dan kunyah daun basil itu setiap pagi dan malam, sakit Aqish beransur pulih.

“Doakan yang terbaik buat Puteri Balqis,” begitu petikan kapsyen beserta foto Balqis menerima rawatan di hospital yang dikongsi keluarganya.

Semoga Balqis didoakan segera diberi kesembuhan dan seterusnya kembali menghiburkan khalayak dengan lakonan hebatnya.