Balqis Berjuang Melawan Penyakit Kanser & Jantung Di Usia 11 Tahun

MANGGA MEDIA sebelum ini pernah menyiarkan gambar pelakon cilik, Puteri Balqis Azizi, 11, yang sedang menerima rawatan di hospital selepas muntah darah dan pengsan.

Ramai peminat terkejut lantaran sebelum ini pelakon wanita terbaik Asian Film Festival itu tidak pernah berkongsi masalah penyakit yang dihidapinya.

Sehinggalah semalam ibunya, Norashikin Abdul Aziz memuatnaik gambar Balqis sambil meletakkan tanda pagar #fightforcancer.

“Doakan Balqis segera sembuh. Dia demam dan menghadapi masalah jantung, paru-paru serta kanser.

“Buat masa ini saya tak dapat bercakap panjang selain meminta orang ramai mendoakan anak saya pulih,” kata ibu Balqish yang tidak menjelas lanjut jenis penyakit kanser yang dihidapi anaknya.

Meski sedang berjuang melawan penyakit, Balqis masih meneruskan karier lakonan. Pelakon cilik berbakat besar ini sedang menjalani penggambaran drama Di Pinggir Neraka bersama Fasha Sandha dan Aida Khalida.

Mangga Media dan semua pembaca mendoakan Balqish segera sembuh di samping terus aktif mempamerkan lakonan yang meninggalkan kesan di jiwa khalayak.

Antara drama Balqis yang menerima respon positif khalayak ialah Akulah Balqis serta filem televisyen biopik Saloma di saluran Astro Fisrt Eksklusif.