Baim Wong Nikah Paula 22 November Ini

AKTOR popular Indonesia yang turut memiliki ramai peminat di Malaysia, Baim Wong, 37, tidak mahu menunggu terlalu lama untuk menikahi tunangnya, Paula Verhoeven, 31.

Pasangan ini bertunang 21 Julai lalu dan pelakon sinetron Benci Bilang Cinta itu sudah menetapkan tarikh pernikahan pada 22 November ini.

Bermakna hanya empat bulan tempoh pertunangan. Kata Baim” Kalau ikutkan permintaan Paula, mahu kahwin Disember ini. Tapi saya fikir terlalu lama nak tunggu hujung tahun.

“Setelah berbincang dengan keluarga dengan pilihan tarikh ikut adat orang Jawa, maka kami bakal disatukan sebagai suami isteri, 22 November ini.

“Dan resepsi diadakan dua hari selepas itu di Jakarta,” ujar Baim yang melangsungkan pertunangan dengan model cantik bintang filem Supernova itu di Balimong Resort, Semarang, Jawa Tengah.

Baim menjelaskan perkara tersebut kepada petugas media semasa tayangan perdana filem terbaharunya, Gentayangan di kawasan Kuningan, Jakarta Selatan pada Rabu.

Baim dan Paula juga sudah menyiapkan foto-foto pra perkahwinan.

Barangkali juga, pelakon filem Jakarta Undercover ini sudah lama sangat membujang dan melalui banyak episod putus cinta.

Baim pernah digosipkan bercinta dengan aktres Malaysia, Elfira Loy namun mereka menafikannya sambil menjelaskan sekadar berkawan baik.

Pengusaha rangkaian restoran Bakmi Wong ini juga pernah kandas percintaan dengan beberapa selebriti popular antaranya, Marshanda, Yasmine Wilblood serta Vebby Palwinta.