BABY SHIMA sedih PAK DASTAR mangsa korban tragedi PALU

PENYANYI comel Baby Shima mengakui terlalu sedih apabila mendapat khabar yang salah seorang peminat juga ‘pembakar semangat’nya menjadi mangsa korban gempa tsunami di bandar Palu, Sulawesi, Indonesia. Kejadian gempa bumi dan tsunami besar yang menyayat hati itu berlaku pada 26 September lalu.

Peminat sekaligus pembakar semangat Shima itu Pak Dastar namanya. Beliau juga seorang pensyarah di salah sebuah universiti di Palu, Indonesia.

Babyshima bersama Pak Dastar, mangsa tragedi Palu.

“Shima betul-betul rasa sedih setelah dapat tahu yang Pak Dastar sudah kembali ke Rahmatullah akibat gempa bumi dan tsunami di bandar Palu. Shima berduka atas pemergian Pak Dastar. Sudah lebih setahun Shima kenal dengan Pak Dastar. Semuanya bermula dengan ‘smule’. Dia dia kerap berduet dengan Shima di smule.

“Kemudian, selepas Shima berhijrah ke Jakarta, dia ada datang tengok persembahan Shima. Cukup terharu kerana dalam keadaan yang tak berapa sihat dia sanggup datang semata-mata nak jumpa Shima. Hari itu dia bagi hadiah. Terkenang balik, Shima jadi terlalu sedih dengan pengorbanan Pak Dastar yang sanggup datang dari jauh semata-mata nak jumpa dan tengok persembahan Shima,” luah Baby Shima kepada Manggamedia.

Ada perkara yang buatkan Baby Shima rasa terkilan. Katanya, “Sebelum ini Shima tanya khabar Pak Dastar, dia balas. Tapi selepas kejadian gempa dan tsunami itu, Shima tanya khabarnya, dia tak jawab. Dia tak balas mesej Shima. Kemudian Shima post mesej Shima itu di IG Story Instagram mengenai Pak Dastar. Pada hari esoknya Shima dapat khabar daripada cucu-cucunya yang Pak Dastar sudah meninggal dunia dalam tragedi di Palu. Beritahu cucu Pak Dastar, jenazah Allahyarham ditemui selepas lima hari kejadian.

Tinggal kenangan… Shima sedih kehilangan Pak Dastar yang banyak bagi nasihat.
Babyshima mengaku akan merindui Pak Dastar.

“Apa yang mengingatkan Shima sampai ke hari ini, ialah kebaikannya. Dia pula cukup menghargai Shima. Sebab semasa dia datang ke Jakarta, Shima sempat menyanyi smule dengan Pak Dastar secara bersebelahan. Dia amat berterima kasih dan gembira kerana Shima sudi jumpa dia dan ajak duet menyanyi smule. Itulah katanya.

“Kebaikan, budi bahasa dan nasihat Pak Dastar masih Shima ingat sampai hari ini. Kerap berpesan supaya Shima kekalkan dengan apa yang ada pada Shima. Katanya jangan berputus asa dengan apa yang Shima buat. Pesannya, kena yakin yang Shima bisa berjaya. Insya-Allah Shima akan ingat sampai bila-bila,” akui Shima.

“Terkenangkan semua ini Shima jadi sedih sangat. Sepatutnya pada 3 Oktober Shima ke Palu untuk acara ulang tahun Kota Palu. Dan niat Shima ingin berjumpa dengan Pak Dastar. Tapi semuanya tak kesampaian. Shima tak akan lupa Pak Dastar,” luah Shima dengan sayu.

Takziah kepada keluarga Pak Dastar dan semua keluarga mangsa tragedi di Palu. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan insan-insan terpilih yang istimewa. Alfatihah.