Baby Shima Dikejarkan Ke Hospital Selepas Pengsan Nyanyi Lagu Arwah Nike Ardilla

Baby Shima menetap di Jakarta dan perlu ulang-alik ke KL bagi persembahan di Big Stage setiap Ahad.

MEMANG betul kebanyakan program realiti ada gimik atau kejutan.

Tetapi, situasi Baby Shima yang tiba-tiba terjatuh di pentas Big Stage sebentar tadi selepas menyanyikan lagu Allahyarham Nike Ardilla, Ku Takkan Bersuara, bukanlah sesuatu yang disengajakan.

Penyanyi berusia 25 tahun itu pengsan kerana dikhabarkan kepenatan lantaran jadual persembahan yang padat di Indonesia.

“Sekarang Shima dibawa ke Hospital Shah Alam. Dia pengsan, rasanya sebab kepenatan, tambahan pula mungkin perut kosong.

“Semalam Shima ada persembahan di Sumedang dan perjalanan menaiki kereta dari Sumedang ke Jakarta memakan masa tujuh jam.

“Sampai saja di Jakarta, dia tak cukup rehat, terus bersiap untuk pulang ke KL bagi persediaan konsert minggu kedua Big Stage.

“Tadi kami sampai KL sekitar pukul 2.00 petang, Shima terus lakukan latihan untuk persembahan malam ini,” jelas pengurus Baby Shima iaitu Andy ketika bercakap kepada Mangga Media sejurus Baby Shima pengsan dalam siaran langsung di Astro Ria dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor (MBSA).

Baby Shima sudah sedar dari pengsan dan berada dalam keadaan stabil.

Kerana pengsan, Shima tidak dinilai komen oleh barisan juri, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan Tomok.

Namun, keputusan di akhir persembahan konsert, meletakkan Shima di kedudukan selamat dengan mengutip 77 peratusan markah.

Wakil bahagian komunikasi korporat Astro turut memaklumkan Mangga Media, Baby Shima kini sudah sedar dari pengsan dan berada dalam keadaan stabil.

Kakak penyanyi Aiman Tino iaitu Farah Hezel menjadi bintang BBNU (Budak-budak Baru Nak UP) pertama tersingkir dengan peratusan markah tercorot, 53.3 peratus.

Sissy Imann yang menyampaikan lagu Semoga Abadi nyanyian asal Misha Omar mengekalkan kedudukan teratas buat kali kedua dengan jumlah peratusan markah sebanyak 80 peratus.

Big Stage merupakan program realiti pertandingan adu suara terbaharu Astro dengan persaingan 10 bintang yang digelar BBNU.

Program kendalian Alif Satar dan Sherry Alhadad ini disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria setiap Ahad, bermula 5 Ogos lalu, pukul 9.00 malam.

Senarai keputusan peratusan markah 10 bintang BBNU hasil penilaian juri profesional sejurus berakhir persembahan konsert minggu kedua pada Ahad malam, 12 Ogos.