Ayat-ayat Cinta 2 Di Pawagam Malaysia, 11 Januari

Fedi Nuril bersama pelakon-pelakon wanita utama Ayat-ayat Cinta 2, Chelsea Islan (duduk kiri), Dewi Sandra serta Tatjana Saphira (kanan). FOTO: ZULFAIZ ZAKARIA

SELEPAS satu dekad, rakyat Malaysia bakal kembali mengalami demam kisah cinta teragung Ayat-ayat Cinta (AAC2) apabila sekuelnya bakal ditayangkan di sini bermula Khamis, 11 Januari.

Filem AAC2 arahan Guntur Soehardjanto yang sebelum ini melalui pengarah asalnya, Hanung Bramantyo telah merangkul pelbagai anugerah di Festival Filem Indonesia 2008.

Di Indonesia, AAC2 telah pun ditonton sebanyak 2.5 juta penonton setakat ini sejak ditayangkan pada 21 Disember.

Sekuel kali ini cuma ada karakter Fahri dikekalkan, tiada Aisha watak isterinya lakonan Rianti Cartwright, Maria ( Carissa Puteri) serta Noura ( Zaskia A. Mecca).

Yang ada kali ini ialah karakter-karakter baharu yang diisi wanita-wanita cantik, Tatjana Saphira, Chelsea Islan serta Dewi Sandra.

AADC2 diperkuatkan lagi dengan karakter lakonan Bront Palarae, Arie Untung dan Panji Pragiwaksono. Sekuel ini berdasarkan adaptasi novel sebanyak 700 halaman muka surat oleh Habiburrahman El Shirazy.

AADC2 mengisahkan Fahri Abdullah yang hidup keseorangan di Edinburgh bersama pembantunya, Hulusi.

Fahri telah kehilangan isterinya, Aisha sewaktu menjadi sukarelawan di Gaza. Semenjak isteri hilang tanpa dapat dikesan, Fahri hidup dalam kesedihan dan sering melakukan kesilapan yang membahayakan dirinya.

Kehidupannya menjadi semakin rumit dengan kehadiran saudara Aisha iaitu Hulya yang dalam diam turut menyimpan perasaan terhadap Fahri.

Mampukah Fahri teguh pada cintanya yang agung terhadap Aisha atau membuka hatinya untuk menerima cinta agung yang baharu?

Malam ini adalah gala night AAC2 yang berlangsung di Pavilion, Kuala Lumpur. Mampukah juga sekuel AADC2 ini mengatasi demam cinta agung filem yang pertama?

Selepas lebih sedekad apakah rakyat Malaysia bakal kembali demam cinta agung Ayat-ayat Cinta 2?