“Artis Kena Menyimpan, Jangan Terlalu Boros”

MEMANG betullah kata Dayang Nurfaizah, dunia artis ini bukanlah seperti pekerja pejabat yang mempunyai pencen di hari tua nanti.

“Kalau anda lihat, saya all out menyanyi dan mengeluarkan lagu-lagu baharu. Saya tidak terlalu bersosial di luar. Habis sahaja buat persembahan, saya terus balik rumah.

“Kerja sebagai penyanyi ini bukannya ada off day atau ada pencen. Sebab itulah selagi orang ramai mahu melihat saya menyanyi, maka selagi itulah saya masih di sini dan mengeluarkan lagu baharu.

“Kenalah berusaha selagi ada peluang dan pandai menyimpan duit sebab tak tahu apa yang bakal berlaku di masa depan,” ujar Dayang kepada Mangga Media.

Menjadi antara penyanyi yang berada dalam senarai artis gred A, pelantun lagu Separuh Matiku Bercinta ini juga sangat berhati-hati berbelanja dengan tidak terlalu boros.

“Bagi saya karier sebagai penyanyi mahupun pelakon dan apa sahaja cabang seni lain, memang berbeza.

“Selagi orang nak dengar kita menyanyi… selagi ada pendapatan daripada menyanyi, eloklah menyimpan untuk di hari kemudian.

“Tak tahu berapa lama lagi boleh terus menyanyi. Bukanlah tidak berbelanja langsung. Kenalah tahu seimbangkan apa yang rasa perlu dibeli dan sebaliknya.

“Penyanyi pun kena berbelanja juga, beli pakaian baharu tetapi yang penting harus ada simpanan untuk masa depan.

“Saya tidaklah terlalu boros… saya banyak guna duit membeli baju-baju untuk persembahan serta alat solek,” ungkap Dayang lagi.