Anthony Hopkins & Tom Cruise Pun Tak Jadi Pengarah- FAIZAL HUSSEIN

TIADA langsung mahu mengikut jejak sepupunya, Datuk Rosyam Nor sebagai penerbit drama dan filem, aktor hebat Faizal Hussein juga mengakui tiga kali menolak tawaran mengarah drama.

“Dulu masa usia awal 20-an pernahlah mengarah drama tetapi itu satu sajalah, saya belum ada keberanian lagi.

“Saya tak menyesal. Sebenarnya, jadi pengarah berbeza dengan menjadi seseorang yang merealisasikan sesebuah drama atau filem.

“Saya harus akui bakat saya sebagai pelakon sahajalah iaitu orang yang merealisasikan karakter.

“Lebih baik tahu diri dengan bakat sebagai pelakon sahaja berbanding dengan semua benda nak buat tetapi hasilnya satu pun tiada yang boleh dianggap masterpiece.

“Macam di Hollywood, Anthony Hopkins dan Tom Cruise pun tak jadi pengarah. Tetapi mereka tahu buat kerja sebagai pelakon yang bagus,” ungkap Faizal kepada Mangga Media.

Ramai pelakon muda, kacak dan popular, tidak membuatkan bintang filem legenda Gila-gila Remaja ini gentar. Sampai hari ini di usia 51 tahun, beliau masih jadi pilihan pengarah serta penerbit.

Semasa di set filem televisyen The Hantus bersama Hannah Delisha, Alif Satar, Namron dan Khatijah Tan.

Ada beberapa filem lakonannya yang bakal menjengah pawagam tidak lama lagi, antaranya Tujuh, Kalla The Movie dan Proksi.

“Seseorang pelakon harus tahu hala tuju kerjaya. Hala tuju saya adalah menghiburkan penonton dengan setiap karakter yang dipertanggungjawabkan.

“Dari segi fizikal pun masih diterima ramai oleh mata penonton. Boleh tengok badan saya masih maintain, bukanlah saiz badan jenis ‘bapak-bapak orang.’

“Saiz dan berat badan saya masih dalam kategori hero. Di usia 51 tahun, saya masih buat semua babak aksi sendiri.

“Ada pelakon umur 30 tahun tetapi kekuatan fizikalnya lemah macam kebanyakan lelaki usia 50-an.Tetapi ada juga yang walau berusia 50-an, tetapi tetap cergas dan mampu berlari laju hingga tak mampu dikejar lelaki lain yang usia 30-an,” katanya.