ANDI BERNADEE mohon ‘Satu Peluang’

ANDI Bernadee, peserta program Big Stage baru-baru ini, kini muncul dengan single terbaharu “Satu Peluang”. Andi yang giat sejak tahun 2017 sudah memiliki lagu Tiada Lagi Maaf sebelum ini.

Pada penghujung tahun lalu  Andi berjaya mencuri perhatian peminat seni dengan tularnya nyanyian parodi lagu ‘Tak Tun Tuang’.  Andi juga pernah mendapat kepercayaan penyanyi rap terkenal Indonesia, Roy Ricardo untuk merakam semula lagu hits rapper tersebut, ‘Semalam Sahur Dimana’ pada bulan Ramadan yang lalu.

Satu Peluang” membawakan konsep pop dengan elemen reggaeton. Lagu ini hasil nukilan rapper dan penerbit tersohor, Alif.

“Saya berharap pertaruhan kali ini dapat menambat hati semua pendengar. Simboliknya, seperti tajuk lagu ini saya juga berharap diberikan peluang untuk mendapat tempat dalam arena muzik tempatan.  Lagu ini bukan sahaja single terbaharu saya malah ianya juga lagu yang menjadi titik tolak kepada hala tuju muzik  saya seterusnya,” ulas Andi tentang harapannya untuk “Satu Peluang” ini.

Single “Satu Peluang” terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan Apple Music.