Anang Mahu Tambah Anak, Isteri Suruh Vasektomi

Anang bersama isteri serta dua anak mereka.

SELEPAS mendapat anak kedua, Arsya Akbar Pemuda Hermansyah, dari perkahwinan keduanya dengan penyanyi Ashanty, komposer Anang Hermansyah, 46, diminta melakukan proses vasektomi.

Vasektomi ialah pembedahan untuk membuang sebahagian atau seluruh saluran air mani, sebagai satu cara merancang keluarga.

Bagaimanapun, penyanyi yang kini aktif dalam dunia politik membatalkan hasrat vasektomi tersebut selain menjelaskan ingin menambah anak.

Bersama Ashanty, mereka memiliki dua anak termasuk seorang lagi bernama Arsy, 2,serta dua anak lagi dari perkahwinan dengan bekas isteri, penyanyi Kris Dayanty iaitu Aurel, 19 serta Azriel Akbar, 17.

“Ya, sebelum ini isteri ada minta melakukan vasektomi dan saya bersetuju ketika itu. Tetapi sekarang, saya membatalkannya (vasektomi) selain ingin menambah bilangan anak.

“Kalau ditanya saya memang mahu ramai anak,” kata Anang.

Anang mahu ramai anak meski sudah punya empat cahayamata dari dua perkahwinan.