Anak-anak Tomok Kini Di Kaca TV

 

RANCANGAN Rockstar Junior memaparkan kebijaksanaan penyanyi dan komposer, Tomok serta isteri Rahayu Abas (Ayu) membesarkan dan mendidik anak-anak mereka, Arrianshah Akid Shah Indrawan (Arrian), 5 dan Andrashah Iman Shah Indrawan (Andra), 2.

Rancangan terbaharu di slot eBu ini akan bersiaran selama 30 minit pada setiap Rabu jam 9.00 malam mulai hari ini di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123). Rancangan lapan episod ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Rockstar Junior akan memaparkan kisah kehidupan harian keluarga kecil Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Tomok, dan isterinya ketika membesarkan dan mendidik dua orang anak teruna mereka, Arrian dan Andra.

Sejajar dengan objektif utama program di bawah slot eBu, Rockstar Junior akan turut memperlihatkan Tomok dan isterinya berkongsi tips keibubapaan dalam pelbagai situasi berbeza yang sering diamalkan oleh mereka berdua dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada Arrian serta Andra.

Keistimewaan rancangan ini ialah Tomok turut menghasilkan sepenuhnya sebuah lagu berjudul Rockstar Junior nyanyiannya sendiri yang diinspirasikan oleh kedua-dua anaknya lelakinya itu.

Perjalanan sepanjang penghasilan lagu tersebut seperti penulisan lirik, gubahan lagu dan proses rakaman akan diselitkan dalam setiap episod sebelum mempersembahkan hasilnya dalam episod terakhir.

Arrian dan Andra turut menyumbang dalam pembikinan lagu yang berentak pop-rock tersebut. Beberapa rakan selebriti Tomok seperti Black, Shuib, Zahid, Atu Zero dan ramai lagi turut membuat penampilan istimewa dalam rancangan ini.

Tomok bersama isteri, anak-anak serta tenaga produksi Rockstar Junior semasa sidang media, baru-baru ini