‘Ali Setan’ Sudah Tiada

AKTOR popular tahun 1980-an, Azmil Mustapha dilaporkan telah meninggal dunia sekitar pukul 1.00 tengahari pada Rabu.

Allahyarham meninggal dunia kerana serangan jantung di kediamannya di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor pada usia 65 tahun

Menurut kenyataan adik allahyarham, Aziph Mustapha, arwah meninggal dunia sewaktu tidur dan tidak bergerak ketika dikejutkan.

Sebelum ini allahyarham pernah beberapa kali dimasukkan ke dalam wad hospital akibat kesukaran bernafas.

Solat jenazah dilakukan di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah Alam (Masjid Biru) dan akan dikebumikan selepas waktu Asar di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Sepanjang penglibatan dalam industri seni tempatan, allahyarham sangat popular menerusi filem Ali Setan (1985), Ali Setan 2 (1986), Driving School (1990), Kepala Angin (1987), Mekanik (1983) serta Suara Kekasih (1986).

Pasangan heroinnya yang dilihat serasi dalam filem ialah Fauziah Datuk Ahmad Daud dalam filem Ali Setan serta Suara Kekasih.

Allahyarham memenangi anugerah Aktor Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-6 (1986) menerusi filem pecah panggung, Ali Setan.

Sebelum bergiat aktif di bidang seni, allahyarham merupakan bekas mahasiswa dari Universiti Indianna, Bloomington, Amerika Syarikat dengan membawa pulang ijazah Sarjana Muda dalam perfileman pada 1979.

Allahyarham Azmil Mustapha sangat popular dan masih diingati oleh peminat yang membesar pada era 1980-an menerusi karakter popularnya, Ali Setan.

Allahyarham mengambil keputusan bersara sepenuhnya dari bidang seni pada akhir 1990-an, bagi fokus mendalami agama di samping bergelar penceramah bebas.

Pernah dua kali mendirikan rumah tangga, namun kedua-duanya tidak kekal lama. Melalui perkahwinan pertama, allahyarham dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Nur Shamira.

Manakala dengan isteri kedua pula, dikurniakan empat cahayamata iaitu Nur Azalea Arifah, Nur Amalia Batrisha, Muhammad Bazli Zhafri dan Nur Alia Iman.

Antara lain-lain filem lakonannya, Iman Alone (1998), XX Ray 2 (1995), Hanya Kawan (1997) serta penampilan khas di dalam filem Puteri Gunung Ledang (2004)