Aktor Popular Mengaku Jarang Solat

DALAM satu temubual dengan media Indonesia di bulan Ramadan ini, aktor muda popular Adipati Dolken secara jujur mengakui jarang menunaikan ibadah solat lima waktu.

“Ya, kalau solat itu jarang dilakukan. Tidak apa-apalah, lebih baik jujur mengaku daripada berpura-pura,” ujar Adipati.

Pengakuan bintang filem Perahu Kertas itu menerima pelbagai reaksi daripada para peminat. Namun, beliau turut mengakui di bulan Ramadan ini, belum satu hari pun meninggalkan ibadah puasa.

“Saya cakap jujur dari hati. Puasa ini belum satu hari pun tidak berpuasa. Meski banyak kerja, saya tetap jalani ibadah puasa.

“Alhamdulillah setiap kali bulan puasa, rezeki kerja saya ngak pernah putus sejak empat tahun lalu,” katanya.

Ligat bekerja di bidang seni, Adipati nampak selesa menikmati hidup sendiri tanpa teman istimewa.

Beliau sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengan pelakon Eva Celia, anak perempuan Sophia Latjuba bersama bekas suami, Indra Lesmana selain pernah berpacaran dengan model, Chika Kinsky.

“Ngak ada target menikah. Saya masih sendiri, orang tua pun tidak mendesak minta segera berkahwin. Soal jodoh itu biarlah Tuhan yang atur,” ungkap Adipati.

Pemilik nama sebenar Adipati Koesmadji, 26, mulai dikenali menerusi watak Virgo dalam sinetron Kepompong di saluran SCTV.

Beliau mencatat sejarah menjadi aktor paling muda meraih anugerah di usia 21 tahun menerusi lakonannya dalam filem Sang Kiai (2013) sebagai Pemeran Pendukung Pria Terbaik di Festival Filem Indonesia.

Filem popular lain ialah Malaikat Tanpa Sayap (2012) dan Koala Kumal (2016).