AIZAT & KAKA AZRAFF nyanyi lagu tema Gol & Gincu 2

PENYANYI popular Aizat dan Kaka Azraf dipilih menyanyikan lagu tema filem Gol & Gincu Vol.2.

Sebagaimana filem pertama yang dihasilkan pada tahun 2005, filem terbaru Gol & Gincu Vol. 2 turut dilengkapi dengan seleksi lagu terbaik untuk jalan cerita filem tersebut. Tepat dengan tema yang dipaparkan, lagu Shout It Out nyanyian Kaka Azraff dan Hari-Hariku dendangan Aizat Amdan feat. Intan Serah dan Annabel Michael terpilih untuk mewarnai Gol & Gincu Vol. 2.

Shout It Out karya Audi Mok, Shazee Ishak dan Atilia Hanna. Lagu yang mendapat sentuhan moden ini menampilkan lirik yang membangkitkan semangat percayakan diri.

Manakala lagu Hari-Hariku ciptaan Aizat sendiri bersama Mel Ramlan. Lagu yang mempunyai melodi yang mesra telinga dengan lirik yang mengangkat tema setiakawan disusun dengan muzik bertenaga oleh Faridz Fazmel dan Izzy Musa. Lebih istimewa lagi, lagu Hari-Hariku diserikan dengan penampilan barisan pelakon Gol & Gincu Vol. 2 sendiri.

Sememangnya lagu memainkan peranan penting dalam melengkapi penceritaan sesebuah filem. Namun, bukan lagu saja yang perlu diteliti, malah karakter penyanyi yang menyanyikannya turut menjadi nilai tambah.

Mengulas tentang pemilihan Kaka dan Aizat untuk menyanyikan lagu tema filem ini, Lina Tan selaku penerbit Gol & Gincu Vol. 2 berkata, “Kaka mempunyai karakter yang sesuai untuk menghidupkan Shout It Out, sebuah lagu yang boleh membangkitkan semangat dan boleh dikatakan bakal menjadi lagu anthem orang muda zaman sekarang. Manakala pemilihan lagu Hari-Hariku, bukan saja kerana lagu itu kedengaran sangat fun dan sempoi tetapi juga kerana karakter Aizat sendiri yang friendly sesuai dengan tema kesetiakawanan dalam lirik lagu ini”.

Gol & Gincu Vol. 2 merupakan arahan sulung Umi Salwana Omar terbitan Red Films, menampilkan Diana Danielle dan Ummi Nazeera sebagai teraju utama. Filem ini juga menampilkan semula dua pelakon asal filem pertama iaitu Sazzy Falak dan Sharifah Amani. Turut terlibat Syafiq Kyle dan Aedy Ashraf.

Cerita yang diilhamkan oleh Rafidah Abdullah yang juga penulis asal Gol & Gincu telah diberi olahan segar oleh Nadia Khan, seorang novelis yang terkenal dengan novel terlaris beliau iaitu Gantung dan Kelabu. Filem ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 25 Oktober 2018.

Bagi mewujudkan momentum menjelang tayangan perdana Gol & Gincu Vol. 2 pada 17 Oktober nanti, kedua-dua lagu tema filem ini iaitu Hari-Hariku dan Shout It Out telah dilancarkan pada semua pelantar digital. Manakala video muzik rasmi untuk kedua lagu ini pula akan dilancarkan pada 20 September 2018.

Hari-Hariku dan Shout It Out merupakan single terbitan dan edaran Warner Music Malaysia dengan kerjasama Red Films. Kedua lagu ini boleh didengar di pelantar digital kegemaran anda seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 7 September 2018. Manakala video muzik rasmi untuk lagu ini boleh ditonton di saluran Youtube Warner Music Malaysia bermula 20 September 2018.