A.Aida Bergelar Isteri Buat Kali ķe-4

KETEPIKAN kecaman netizen mengenai hubungan janda, produser popular Datuk A. Aida, 47 dan anak teruna beza usia 18 tahun, Ariff Aziz, 29, kerana si janda kini sudah sah bergelar isteri dengan dua kali lafaz.

Produser filem Ratu Kala Jengking itu kembali bergelar isteri buat kali keempat dalam satu majlis diadakan di Hotel Dorsett, Subang, Kuala Lumpur pada Sabtu malam.

Ijabkabul dilakukan Imam 2 Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya, Mohamad Imran Nasohah.

Ariff menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300, wang hantaran RM20,000 beserta tiga dulang hantaran berisi jam tangan mewah jenama Cartier, beg tangan Hermes termasuk sebentuk cincin.

Manakala, A. Aida membalas lima dulang hantaran antaranya, jam tangan jenama Hublot, beg bimbit Louis Vuitton serta minyak wangi Chanel.

Ini perkahwinan keempat produser yang sebelum ini merupakan janda anak tiga manakala perkahwinan pertama kali buat Ariff yang pernah membintangi drama Lelaki Itu Pemilik Hatiku serta Misteri Wan Peah.

Dalam perkahwinan pertama dengan penyanyi Aming Spring pada 1994 hingga 2003, A. Aida memiliki dua zuriat perempuan, Wan Az Aleesa, 21 dan Wan Azevanatasha, 16.

Manakala, perkahwinan ketiga dengan seorang pegawai polis, produser tersebut turut dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rahul, 9.

Sementara itu, A. Aida memaklumkan majlis resepsi bakal diadakan di kediaman peranginannya dekat Janda Baik, Pahang sempena sambutan ulang tahun hari lahirnya pada 20 April tahun depan.

Pasangan pengantin bersama antara rakan artis yang hadir di majlis pernikahan, Aida Khalida (kiri), Farahdhiya, Fasha Sandha dan Aidil Aziz.