Ahmad Idham Kecewa, Hanya 29 Panggung Tayang Hantu Wangan

Filem terbaharu arahan dan terbitan Ahmad Idham, Hantu Wangan bakal beredar di pawagam 22 Mac ini.

PENGARAH dan penerbit filem dari AIFA Motion Pictures, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 45,  kecewa dengan Skim Wajib Tayang (SWT) yang hanya memberi ruang sebanyak 29 panggung untuk filem terbaharu arahannya, Hantu Wangan.

Filem komedi seram lakonan Achey Bocey, Nur Risteena Munim, Cat Farish, Ruminah Sidek (Mak Mah), Nor Albaniah dan Ali Puteh itu bakal ditayangkan 22 Mac depan.

“Hal ini bukan baharu kerana penerbit lain terutamanya dalam kelompok penerbit kecil pernah mengalami situasi sama apabila jumlah tayangan di panggung dikecilkan.

“Perkara ini berlaku apabila mereka yang bertanggungjawab tidak melaksanakan agenda kerajaan memperkasakan industri filem tempatan tetapi lebih kepada menyelamatkan agenda peribadi sendiri,” katanya dalam kenyataan kepada Mangga Media pada Selasa selain menafikan masalah berpunca dari pihak panggung.

Beliau mendakwa di dalam SWT terdapat enam undi sementara undi panggung hanya satu untuk menentukan lokasi bersesuaian bagi tayangan filem.

Disebabkan itu, sikap ‘endah tak endah’ ahli jawatan kuasa (AJK) SWT yang mewakili penerbit, seolah-olah menindas penerbit kecil kerana tidak memperjuangkan hak mereka.

“Saya rasa hal ini harus didedahkan bagi memberi kesedaran kepada khalayak industri filem kecil yang sering didakwa tertindas,” tegas Idham.

Pada masa ini, AJK SWT terdiri daripada wakil Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).