Agnez MO Tanpa Rokok & Alkohol

PENYANYI terkenal Indonesia Agnes Monica yang kini menggunakan nama Agnez MO semakin ligat mengusahakan bisnes kuliner dengan membuka sebuah restoran makanan khas Manado bernama Red Box di kawasan Kedoya, Jakarta Barat.

Bahkan, pelantun lagu hit Matahariku dan Tak Ada Logika ini juga bakal membuka kedai kek dan kedai kopi. Tidak sahaja di Jakarta, rangkaian bisnes kulinernya itu bakal dikembangkan ke Bandung.

“Sudah lama berhasrat buka restoran. Baru kali ini  dapat diusahakan kerana selama ini saya sibuk ulang-alik ke Amerika,” jelas Agnez yang sehingga kini masih berulang alik ke negara Uncle Sam itu. Beliau pernah mengeluarkan single Coke Bottle di Amerika Syarikat.

Agnez dan kekasihnya, Wijaya Saputra yang juga pemain bola keranjang Indonesia berkongsi minat sama dalam bisnes kuliner, fesyen, teknologi maklumat serta minyak wangi.

“Setiap pekerjaan pasti ada kesulitan. Kerana terlalu sibuk bekerja, saya mengalami penyakit susah tidur.

“Walaupun susah dapat tidur secukupnya namun saya tetap menjalani kehidupan sihat.

“Saya tidak merokok dan tidak mengambil minuman beralkohol. Stamina tetap kuat dan terjaga meski kurang tidur,” ungkap jelitawan berusia 31 tahun ini.