Aeril Zafrel Tak Pernah Terfikir Nak Kahwin Lagi Satu

Pasangan bahagia, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal.

PASANGAN suami isteri popular, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal dilihat bahagia dan dikatakan mempunyai relationship goals berdasarkan foto-foto dimuatnaik di media sosial.

Menurut Aeril, Kemesraan dan kebahagiaan yang dipamerkan itu adalah ikhlas dan bukan sengaja diada-adakan.

“Semua yang saya muatnaik, kemesraan dengan isteri dan anak-anak jadi perhatian kerana kami dikenali, itu saja.

“Kalau ikutkan, kami sama aja macam suami isteri biasa lain yang mahu berkongsi memori bahagia sekeuarga.

“Saya rasa semua itu adalah memori untuk diingati sampai bila-bila kerana apabila dimuanaik di media sosial, ia takkan hilang,” kata Aeril yang ditemui Mangga Media sewaktu pelancaran teater Tanah Akhirku di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam pujian pasti ada kecaman. Namun Aeril mengambil pendekatan untuk tidak melayan elemen-elemen negatif, termasuklah godaan ‘gatal’ segelintir peminat perempuan.

“Komen-komen negatif haters itu banyak tapi biasalah semuanya daripada netizen yang akaunnya tidak bergambar dan tiada pengikut, jadi saya tak layan.

“Saya dan isteri (Wawa Zainal) lebih banyak berbincang dan merancang masa depan anak-anak. Kami tak hirau sangat tentang apa jua kecaman remeh.

“Tiada langsung fikir nak ada orang ketiga, apatah lagi nak kahwin lagi satu. Antara saya dengan Wawa tidak berselindung. Kami tiada rahsia.

“Wawa tahu password akaun Instagram dan hand phone saya. Kalau setakat gaduh-gaduh kecil itu biasalah.

“Orang kata dalam tempoh lima tahun perkahwinan, kita baru sampai peringkat untuk betul-betul kenal pasangan hidup kita.

“Saya dan Wawa dah tujuh tahun berkahwin, rasanya dah sampai fasa kematangan dalam perkahwinan.

“Wawa percaya saya, dengan siapa saya berlakon dan ke mana saya pergi. Jadi, saya takkan punahkan kepercayaan Wawa itu,” ujar Aeril.

Pasangan ini berkahwin pada 2012 dan memiliki sepasang cahayatamata, Attar, 5 serta Hayla, 3.

Dalam perkembangan lain, Aeril bakal berada di pentas berprestij Istana Budaya untuk peranannya sebagai Tengku Khalis dalam teater berjudul Tanah Akhirku.

Teater sempena bulan kemerdekaan negara yang ke-61 bakal dipentaskan dari 28 Ogos hingga 2 September ini. Teater arahan Naque Ariffin ini turut dibintangi Erma Fatima, Izzue Islam, Nina Nadira serta Lim Mei Fen, yang juga merangkap penerbit teater.

“Kali kedua ke pentas Istana Budaya, saya masih rasa gementar selain teruja. Kali ini saya bersama tenaga kerja anak-anak muda yang berjiwa besar dengan karya yang kaya semangat.

“Itu yang membuatkan saya menyahut cabaran ini meski dalam masa yang terbatas,” ungkap Aeril yang memaklumkan baru semalam menerima skrip serta bersetuju menyertai teater ini.

Barisan pelakon teater Tanah Akhirku bersama pengarah, Naque Ariffin (kiri) sewaktu sidang media di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Rabu.