Adira Luah Rahsia Hati Dalam Lagu Baharu?

LARI dar kebiasaan, penyanyi Adira muncul dalam single terbaharu berjudul Sembunyi setelah beberapa tahun menyepi untuk fokus pada keluarga.

Pelantun lagu popular Ku Ada Kamu dan Ombak Rindu ini tampil dengan konsep muzik yang berbeza.  Sembunyi adalah ciptaan komposer Alif atau nama penanya Alif For Magic Potions.

Penyanyi yang diberikan julukan Queen of Soundtrack ini sememangnya sinonim dengan runut bunyi filem, drama TV serta drama bersiri tempatan dan sering mendapat perhatian apabila digandingkan dengan penyanyi bersuara emas, Hafiz Suip.

Setiap runut bunyi yang dinyanyikan pasti menjadi siulan penggemar muzik tempatan dan sering mendapat berjuta tontonan di laman sesawang YouTube.

Ibu kepada Anggrek ini berkata, “Single Sembunyi sejujurnya tiada kena mengena dengan diri saya pun tapi apa yang saya faham daripada saudara Alif, ia mengenai sepasang kekasih yang telah berpisah dan tiada jodoh tetapi masih lagi mengambil berat dan masih menyayangi di antara satu sama lain secara diam-diam atau secara sembunyi.

“Walau bagaimanapun, jika orang lain mendengarnya mungkin mereka mempunyai pandangan tersendiri atau sesiapa sahaja di luar sana yang pernah mengalaminya sendiri.

“Sebelum melakukan proses rakaman, saya telah pun mendengar beberapa karya dan akhirnya tertarik dengan Sembunyi kerana melodinya yang unik selain mahukan sesuatu yang segar dan lari dari kebiasaan.

“Saya juga ingin memanjatkan rasa syukur kerana menjadi sebahagian daripada keluarga besar Rocketfuel Entertainment yang banyak membantu serta melancarkan kerjaya saya sekarang.

“Diharapkan juga buat peminat-peminat saya di luar sana yang telah lama menunggu lagu terbaharu daripada saya dapat menerima Sembunyi dengan baik serta penggemar muzik tanahair secara amnya,” jelas Adira dalam kenyataan kepada Mangga Media.