Adi Putra, Fasha Sandha Diuji Dalam Teratai Kemboja

Adi Putra dan Fasha Sandha di salah satu lokasi menarik berdekatan Sungai Sap di Kampung Tralach District, Phnom Penh. FOTO: ROHAIDA ZULKIFLI

PHNOM PENH- Keserasian dua pelakon popular, Datuk Adi Putra dan Fasha Sandha diuji lagi apabila mereka disatukan dalam drama bersiri terbaharu Saphire Screen, Teratai Kemboja.

Drama untuk slot Zehra TV3 dijangka tayangannya pada April ini, arahan Along Kamaludin, berlatarkan lokasi-lokasi menarik di Phnom Penh, Cambodia iaitu Kampung Chhnang Province serta Kampung Tralach District.

“Saya tiada masalah besar bergandingan dengan Fasha. Sebelum ini pun kami pernah beberapa kali disatukan, jadi keserasian itu sudah lama dibentuk.

“Fasha juga adalah antara faktor utama saya terima watak dalam drama ini selain kerana pilihan pengarah yang saya sifatkan antara yang terbaik saya pernah bekerja di samping produksi yang bagus dalam segala segi.

“Berada pertama kali di kawasan hujung kampung dekat Phnom Penh ini juga telah memberikan pengalaman menarik terutamanya apabila mengetahui ada ramai penduduk Islam di kedua-kedua kampung ini yang harus kita ambil perhatian,” ujar Adi Putra yang memegang watak Fikri.

Keserasian Adi Putra dan Fasha Sandha di dalam Teratai Kemboja, arahan Along Kamaludin, terbitan Saphire Screen

Adi dan Fasha pernah bergandingan dalam beberapa drama rating tinggi antaranya, Kehangatan Lantana, Akukah Tanggang serta Samson & Delaila.

Kunjungan Mangga Media ke lokasi dua perkampungan muslim di Phnom Penh dibawa khas oleh produksi Saphire Screen.

Penerbitnya, Hasniza Nordin turut membawa krew katering yang diketuai Chef Dayang Adnin.

Pengarah Along Kamaludin (bertopi di tengah) bersama Fasha Sandha dan krew produksi di salah satu lokasi menarik, kawasan sawah padi penuh dengan teratai tumbuh segar di Kampung Tralach, Cambodia

“Ini untuk memudahkan penyediaan makanan bagi semua pelakon dan krew produksi memandangkan kesukaran mendapat makanan halal di sini,” kata Hasniza.

Teratai Kemboja berkisar tentang watak Fikri lakonan Adi Putra yang membawa diri ke Cambodia dan seterusnya jatuh cinta pada Nur Hidayah ( lakonan Fasha Sandha) seorang Ustazah yang menetap di Cambodia bersama bapanya, Imam Taufik ( Hasnul Rahmat).

Untuk lokasi di sini, melibatkan Adi Putra, Fasha Sandha, Hasnul Rahmat dan Nafiz Muaz, pelakon baharu yang digilap melalui DFKL 2016. Pelakon lain ialah Elly Mazlein.

Adi Putra sebagai Fikri di dalam drama Teratai Kemboja
Penerbit Saphire Screen, Hasniza Nordin (kanan) di lokasi Kampung Tralach, Cambodia

“Untuk drama ini sebenarnya sangat berbaloi dari segi pemilihan pelakon. Mereka sangat komited. Begitu juga pengarah.

“Ujian dan cabaran mereka yang harus melalui kawasan-kawasan penuh lumpur dan kotor, harus diberi pujian kerana kesungguhan mereka merealisasikan watak tanpa sebarang rungutan,” ungkap Hasniza lagi.

 

Penulis bersama Adi Putra dan Fasha Sandha berlatarkan Sungai Sap, yang menghubungkan laluan antara Cambodia dengan Vietnam

*Beberapa foto menarik penggambaran drama Teratai Kemboja di dua perkampungan muslim di sini Mangga Media kongsikan. Beberapa sedutan video penggambaran boleh dilihat di Facebook Mangga Media / Instagram @mangga.media