{VIDEO}”Ada Yang Tak Suka Kami”- Kaer & Amylea Anggap Buang Masa Layan Komen Negatif

Kolaborasi Kaer dan Amylea melalui lagu berhantu Tak Pernah Hilang, lagu tema drama sensasi Nur. FOTO: HELMI WONG

MUZIK video lagu Tak Pernah Hilang, kolaborasi sulung Kaer Azami dan Amylea Azizan sudah mencecah 6 juta jumlah tontonan di Youtube.

Pencapaian itu sangat mengejutkan bekas bintang Akademi Fantasia 2 dan 3 ini kerana tidak menyangka impak diberikan peminat setelah10 tahun tidak berada di barisan hadapan dunia muzik.

Mereka juga berterima kasih pada rating tinggi drama Nur sekaligus beri impak positif sebagai lagu tema drama.

“Bila muzik video mula cecah 500 ribu tontonan kami dah melonjak gembira. Saya rasa nak nangis,” ujar Amylea selaku penulis lirik pada melodi ciptaan buah hatinya, Farouk Roman.

Bagaimanapun, tidak semua yang indah diterima mereka. Lovers dan haters banyak memainkan peranan di media sosial.

“Kita tak boleh nak ubah diri semata-mata nak ikut cakap netizen. Kita jadi diri sendirilah.

“Gabungan kami ini pun ada yang tak suka… ada yang cakap lagu terikut-ikut macam lagu Indonesia.

“Netizen ini macam-macam kehendak, apa yang baik saya baca, yang sebaliknya saya biarkan sajalah,” luah Amylea lagi.

Bagi Kaer yang sedekad menyepi dari dunia hiburan tempatan lantaran menetap di Jakarta selama sebelas tahun, tidak mahu membebankan fikiran melayan benda negatif.

“Buang masa baca komen-komen negatif. Lebih baik saya fokus untuk kembali serius menyanyi,” ungkap pelantun lagu hit Izinkan Ku Pergi yang kini sudah setahun kembali menetap di tanahair.

Kaer dan Amylea ditemubual Mangga TV dalam satu majlis makan tengahari dianjurkan syarikat rakaman Seventeen Eleven Music di sebuah restoran makanan barat terkemuka di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Kuala Lumpur pada Rabu.

Mereka bakal mengadakan showcase selama 2 jam dengan sekitar 18 buah lagu di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, pada Ahad, 26 Ogos ini bermula pukul 2.00 petang.

Kaer dan Amylea bakal hibur peminat di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada Ahad, 26 Ogos ini.