Ada Pihak Tak Sabar Sebar Gambar Bayi Siti

Gambar bayi sulung Siti dan suami yang tersebar meluas di media sosial sejurus selamat dilahirkan secara pembedahan di sebuah pusat perubatan terkemuka ibu kota pada 19 Mac.

COMEL pipi merah wajah bayi sulung pasangan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dengan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang lahir secara pembedahan pada Isnin, 19 Mac bersempena 1 Rejab 1439H.

Namun, di sebalik kegembiraan terselit kekecewaan apabila gambar bayi yang lahir dengan berat sebanyak 3.55 kilogram itu tersebar meluas sebelum waktunya.

“Tentunya bukan dari pihak kami atau DSCT kan… Yang pasti semua pihak hubungi saya bertanyakan bagaimana boleh tersebar gambar tersebut.

“Pihak DSCT dan suami sudah memaklumkan sebelum ini meminta ruang dan masa untuk mendedahkan wajah serta nama bayi sulung mereka pada waktu yang sesuai,” jelas pengurus Siti, Rozi Abdul Razak merangkap kakak iparnya kepada Mangga Media. 

Melihat wajah bayi yang khabarnya bakal diberi nama ‘Siti A’ itu persis ibunya. Siti dan suami memaklumkan hanya akan berkongsi perihal zuriat sulung mereka selepas tujuh hari bersalin.

Siti dan suami kesal gambar bayi tersebar meluas di media sosial sebelum waktunya.