Ada Apa Sebenarnya Alif Satar Dengan Siti Nordiana?

TIDAK dinafikan, ramai peminat menyokong serta menyukai keserasian yang ditampilkan pasangan pelakon Pengantin Musim Salju, Alif Satar dan Siti Nordiana.

Keserasian dan sekaligus kemesraan mereka bermula dari drama bersiri popular, Dia Semanis Honey. Bahkan, sehingga kini, ramai belum jemu melihat gandingan mereka.

Jadi, ada apa sebenarnya antara Alif dengan Siti Nordiana atau Nana? Sehinggakan, netizen menggelar keserasian Alif dan Nana, ibarat pasangan Shah Rukh Khan & Kajol di dalam lakonan.

Alif Satar berpengalaman 12 tahun, manakala Siti Nordiana pula berpengalaman hampir 19 tahun dalam seni hiburan.

Genre nyanyian Nana amat berbeza sekali dengan Alif, Nana lebih cenderung kepada lagu-lagu berentak ‘leleh’ berbanding Alif berentak pop.

Atas permintaan ramai peminat mereka yang menginginkan gandingan duet walau hanya dalam sebuah lagu, maka terhasillah Sebenarnya, ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan, Ezra Kong, Romeo dan Sze Wan Lee. \

Penghasilan lagu Sebenarnya, sangat indah dan unik kerana Nana menyatakan hasrat untuk berduet bersama Alif pada Faizal Tahir.

Malah Alif sendiri masih mahukan Faizal mencipta lagu untuknya. Bagai Bulan jatuh ke riba apabila Faizal dan pasukan muziknya bersetuju untuk mencipta sesuatu yang ‘sebenarnya’ buat Alif serta Nana.

Lagu ini tidak mengambil masa yang lama untuk direalisasikan. Dengan jadual kerja Alif dan Nana yang cukup padat mereka masih mampu untuk memberi komitmen yang terbaik.

Lagu ini merupakan special project antara Sony Music Entertainment Malaysia & Faithful Music, milik Faizal Tahir.